Followers

11 September 2011

Memandulkan Kucing Betina @ Spay Bahagian 2/2

info credit to : alamkucing

Apa Yang Perlu Buat Sebelum dan Selepas Spay?

Sama juga seperti neuter, puasakan kucing anda lebih kurang 10 jam sebelum pembedahan kerana perut yang berisi makanan mengundang masalah semasa pembedahan.

Jika semuanya OK, tidak ada masalah melakukan pembedahan semasa di bius. Jika ada, biasanya disebabkan oleh masalah kesihatan sedia ada atau teknik pembedahan yang tidak memuaskan. Ini adalah faktor yang perlu difikirkan jika anda sedang memilih klinik mana mahu dipilih.

Proses pembedahan biasanya mengambil masa antara 20-30 minit dan boleh di bawa pulang pada sebelah petang. Lawatan ke klinik selepas pembedahan biasanya hanya untuk mengeluarkan benang jahitan.

Luka dari pembedahan spay adalah lebih dalam berbanding neuter, maka kaedah penjagaannya juga memerlukan lebih perhatian. Berbeza dengan kucing jantan, adalah amat penting untuk kita mengurung kucing betina dalam tempoh ini.

Alaskan sangkarnya dengan kain lembut atau sekurang-kurangnya suratkhabar. Pastikan keadaan sangkarnya sentiasa bersih untuk mengelakkan jangkitan pada luka. Letakkan sangkar ini pada lokasi yang tidak bising, redup atau gelap. Jauhkan dari kanak-kanak dan bunyi bising.

Periksa jahitan lukanya sekali sehari dan pastikan ianya tidak bernanah, membengkak, darah mengalir atau mengeluarkan bau busuk. Jika ya, bawanya ke vet secepat mungkin. Pastikan anda menerima ubatan tahan sakit atau lain-lain yang mencukupi dari klinik.

Pastikan juga anda mendapat penerangan dari doktor tentang apa-apa penjagaan atau rawatan khusus yang perlu diberikan sebelum dan selepas pembedahan.

Cuba cegah kucing anda dari menjilat kesan luka tu kerana ia akan melambatkan penyembuhan (bila dijilat, luka itu akan kembali terbuka). Cara paling mudah ialah alihkan tumpuannya dengan memberikan makanan snek.

Dan jangan lupa ambil nombor telefon vet anda, sebagai langkah berjaga-jaga dalam tajuk di bawah ini.

Kesan Sampingan Anesthesia

Walaupun pembedahan spay hanya 30 minit, tetapi kucing hanya sedar dari kesan pelali anesthesia selepas 4-5 jam (atau mungkin lebih). Biasanya doktor akan minta supaya kita tunggu sehingga kucing sedar dahulu sebelum di bawa pulang, kerana itulah prosedur ini kelihatan seperti mengambil masa lama.

Kesan anesthesia ini biasanya akan hilang sepenuhnya selepas 48 jam (berbanding kucing jantan yang hanya 24 jam). Dan dalam masa itu, kita akan melihat kucing itu seperti keliru, mabuk, tidak seperti yang kita kenali atau kadangkala muntah dan mengalami cirit-birit.

Sesetengahnya juga seakan hilang daya penglihatan dan sukar berjalan, ada juga yang tidak mengelipkan mata (titiskan ubat mata kedalamnya jika ini berlaku, minta dari vet).

Kesemua ini bergantung kepada jenis pelali yang diberikan atau umur kucing itu sendiri dan ia hanya kesan sementara sahaja dan tidak ada apa yang perlu dibimbangi.

Walaupun kucing berada dalam keadaan sebegitu, pastikan ianya tidak dalam kesakitan. Misalnya kelihatan begitu bersusah payah untuk duduk, atau berdiri, meraung panjang, atau meraung dengan suara kecil tapi panjang, berulang-ulang, atau lain-lain tanda (anda lebih mengenalinya).

Dia mungkin menunjukkan rasa tidak selesa dan keliru, tapi bukan menderita atau menahan sakit, jika ya, bawakan semula ke vet untuk diperiksa.

Ini semua mungkin kelihatan menakutkan, tetapi kebiasaannya ok-ok sahaja dan segalanya berjalan lancar. Kebanyakan kucing yang di spay juga sudah mampu berdiri dan makan seperti biasa keesokan paginya.

Berapa Lama Kucing di Spay Akan Sembuh?

Kucing betina akan sedar selepas pembedahan antar 4-5 jam dan pulih sepenuhnya dari kesan anesthesia dalam tempoh 48 jam. Luka pembedahan akan sembuh dalam tempoh 10-14 hari dan pada masa ini juga lawatan ke klinik dilakukan untuk membuang jahitan.

Apa Lagi Yang Saya Perlu Tahu?

Kucing betina boleh makan/minum seperti biasa selepas 2 hari. Jika dia kurang selera makan, mungkin ianya adalah kesan anesthesia sebelum itu dan tidak perlu dibimbangkan. Dapatkan nasihat doktor tentang pemakanannya selepas pembedahan.

Jangan mandikan kucing betina selama 2 minggu selepas pembedahan, walaupun lukanya sudah sembuh tapi risau kalau-kalau terkasar, lukanya akan terbuka kembali. Elakkan dari kucing terlalu aktif dalam tempoh 2 minggu ini, kurang kan bermain, melompat dan sebagainya.

Perhatikan juga isian kotak najis, jika ia jenis berdebu mungkin boleh tukar kepada kertas untuk sementara, kerana debunya boleh menyebabkan jangkitan pada luka.

Disebabkan spaying ini adalah pembedahan yang menyebabkan kucing tidak lagi dapat melahirkan anak, sesetengah daripada kita mahukan kucingnya merasai pengalaman melahir dan menjaga anaknya.

Jika anda berfikir begini, saya ada satu cadangan. Anda berkunjung ke pasar atau restoran, atau di mana-mana tempat yang banyak kucing terbuang, dan lihat sendiri apa yang berlaku kepada anak kucing yang dilahirkan tetapi tidak ada sesiapa yang mahu menjaganya.

Setiap kali anda melihat anak kucing di situ, katakan pada diri sendiri ,"Saya akan menjaganya". Selami hati anda, adakah kita jujur mengucapkannya selepas 5 ekor?

Saya cadangkan begitu, kerana dalam masa 2 tahun, kucing anda yang tidak dimandulkan akan mempunyai 16 ekor anak dan sekurang-kurang 8 ekor cucu. Dan apa yang kita lihat di pasar, kebiasaannya itulah bakal rumah barunya di masa hadapan, iaitu satu kesudahan yang menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku.

Berapa Kos Untuk Spay?

Klinik kerajaan mungkin antara RM60-80 dan klinik swasta paling mahal pun mungkin mencecah RM180. Ada yang memberikan pakej-pakej tertentu seperti pek makanan, mandian dan sebagainya, kalau basic spay sahaja paling mahal pun lingkungan RM80-RM100.

Secara umumnya ia lebih mahal sedikit berbanding neuter.



jom like!! =D


1 comment:

  1. Aunty Sharz,
    Ouch! Teringat "peristiwa" empat tahun dulu. Mama kata, it's for your own good, Angelina. Ouch! Ouch! Ouch! purrr....meow!

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails

About Me

My photo
.i live a simple life n happy with it.